Blogger Templates

Sunday, 26 February 2012

Kertas ini telah dibentang pada 7 Januari 2012

SIMPOSIUM PERAWAT DARUSSYIFA’ SEMALAYSIA 2012




TAJUK:
ETIKA PENGGUNAAN BAHAN  RAWATAN BUKAN HERBA: SATU TINJAUAN BERDASARKAN AMALAN PENGUBATAN ISLAM[1]
Oleh: Dr Abdullah Yusof, PhD [2]
Abstrak

Kertas ini ditulis semata-mata bagi memenuhi keperluan simposium iaitu menyentuh aspek etika dalam penggunaan bahan rawatan. Fokus diberikan kepada bahan bukan herba, memandangkan bidang herbalogi dan fitoterapi  (terapi tumbuhan) sudah lama diketahui dan diaplikasikan secara meluas di kalangan perawat Darussyifa’. Oleh kerana bahan selain herba juga turut digunakan sebagai bahan rawatan, maka setiap perawat yang menggunakan bahan tersebut perlu memahami dan mematuhi beberapa aspek atau etika berkaitan penggunaannya. Misalnya sebahagian haiwan liar dan hidupan eksotik adalah dilindungi, maka menyimpan, memelihara dan membunuhnya dianggap melakukan satu kesalahan yang diboleh didakwa di bawah akta tertentu. Berdasarkan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972, haiwan di negara ini terdapat 292 jenis dalam kategori tidak boleh diburu, dibela dan dimakan; termasuk buaya, beruang, harimau dan kucing hutan. Begitu juga untuk menghasilkan ubat dan ramuan kesihatan berasaskan bahan tertentu, maka ada badan yang memantau seperti Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan.  Bahagian Farmasi, KKM. Darussyifa’ pula harus membentuk etika tertentu agar para perawat lebih berhati-hati dalam penggunaan bahan rawatan kerana kebanyakan perawat tidak mempunyai kompetensi dan latihan secukupnya dalam bidang ini. Selain itu kita sebagai perawat perlu mempunyai anjakan paradigma  untuk keluar dari kepompong dengan meningkatkan jatidiri, menambah ilmu dan pengalaman sehingga berupaya menghasilkan produk bahan rawatan dan kesihatan sebagai persediaan ke arah merealisasikan hasrat Tuan Guru untuk melihat sebuah Hospital Islam berkonsepkan Tibb Nabawi menjadi kenyataan.
1.       MUQADDIMAH
Berdasarkan sejarah peradaban manusia, terdapat berbagai-bagai sistem perubatan seperti perubatan Yunani (Greek), perubatan China (Acupuncture), perubatan India (Ayurveda), perubatan Herba, perubatan Islam, alopathy, homeopathi, oesteopathy dan perubatan tabii menurut kronologi usianya. Setiap sistem perubatan berkenaan mempunyai ciri-ciri yang tertentu walaupun wujudnya persamaan dari segi konsep dan cara perubatan antara satu dengan yang lain dalam aspek tertentu.
‘Pengubatan’ adalah berasal daripada perkataan ubat yang membawa maksud sesuatu benda yang digunakan untuk menyembuhkan penyakit atau menyihatkan badan, sama ada dengan cara dimakan, diminum, leset, digosok, diurut, disembur, direbus, ditangas, dihidu, dilayur, disapu, dipupuk dan lain-lain. Manakala ‘tradisional’ pula bermaksud bercorak tradisi, atau dengan kata lain masyarakat yang mengamalkan cara hidup secara turun-temurun. ‘Pengubatan tradisional’ banyak menggunakan bahan-bahan tempatan asli seperti tumbuh-tumbuhan, herba, bahan-bahan semulajadi, haiwan, mikro-organisme dan sebagainya untuk dijadikan sebagai ubat. Pengubatan tradisional dengan istilah lainnya ialah perubatan alternatif.[3]
Dalam rawatan Islam, selain menggunakan kaedah ruqyah dari al-Quran dan hadith-hadith yang ma`thurah, penggunaan bahan rawatan dari sumber herba dan bukan herba digunakan secara meluas. Rawatan yang dijalankan di Darussyifa’  juga tidak terkecuali dari menggunakan bahan-bahan tersebut. Pendedahan mengenai penggunaan herba lebih banyak didedahkan kepada para pelajar dan  perawat berbanding bukan herba. Namun demikian bahan bukan herba tetap digunakan oleh para perawat meskipun herba diberikan keutamaan.
Persoalan timbul tentang sejauh mana bahan bukan herba boleh digunakan dan rujukannya dari sudut halal-haram serta kaedah pengambilannya. Untuk herba ada kaedah pengambilannya sebagai bahan ubat, namun bagaimana pula tentang sumber bukan herba. Ada ahli Darussyifa’ yang memegang pendapat bahawa hanya herba yang disebut dan diajar oleh Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din sahaja boleh digunakan (termasuk bacaan ruqyah sekali), kalau sebaliknya berlaku maka ahli tersebut dianggap melanggar etika dan menderhakai Tuan Guru. Ada pula yang mengambil kesempatan menggunakan semua bahan semulajadi baik herba mahupun bukan herba tanpa menyelidiki dan membuat rujukan pakar terlebih dahulu (termasuk  merujuk Tuan Guru). Halal dan haram sesuatu bahan bukan hanya kerana sifatnya dan ianya disebut secara jelas dalam nas, namun ada bahan yang asalnya halal namun menjadi haram kerana sebab-sebab tertentu termasuk beracun atau memabukkan. Semua perawat harus memahami aspek ini tanpa prejudis. Justeru itulah Tuan Guru selalu menyarankan kepada para pelajar, lazimnya pada sesi akhir kuliah tentang keperluan ahli-ahli Darussyifa’ terus menambah pengetahuan dan maklumat tentang ilmu pengubatan, kerana apa yang disampaikan semasa kuliah hanya sebahagian sahaja dari aspek asas pengubatan Islam. Kertas ini akan menyoroti aspek penggunaan bahan bukan herba memandangkan maklumat mengenai herba sudah sering didedahkan kepada ahli Darussyifa’. Minda kita harus  terbuka dalam hal ini, namun kita harus cermat dalam mengamalinya.








[1] Kertas ini dibentang pada Simposium Perawat Darussyifa’ SeMalaysia 2012 anjuran Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa’) pada hari Sabtu 7 Januari 2012 di Dewan Nik Mohyiden Musa, IPGM, Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor, D.E.
[2] Pembentang ialah AJK Darussyifa’ (Ketua Biro  Penyelidikan dan Pembanguinan_R & D).



Pembangunan dan

No comments:

Post a Comment