Blogger Templates

Wednesday, 28 December 2011

GARIS PANDUAN BOMOH


1. TUJUAN

1.1. Garis panduan ini disediakan untuk dijadikan panduan kepada umat Islam khususnya mereka yang terlibat dengan amalan perbomohan tradisional supaya terhindar dari amalan yang bertentangan dengan aqidah, syariat dan akhlak Islam yang sebenar.

2. PENDAHULUAN

2.1. Islam amat menitikberatkan soal-soal aqidah, syariah dan akhlak. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber asal Al-Quran, Hadith, Ijmak dan Qias adalah ditolak. Dalam urusan perubatan kepada pesakit, satu perkara harus diingat oleh semua pihak, bahawa hanya Allah sahaja berkuasa mutlak menentukan sesuatu dan menjadikannya, lebih-lebih sesuatu dan menjadikannya, lebih-lebih lagi sakit dan sembuh adalah hak-Nya, manusia hanyalah disuruh berusaha dan berikhtiar. Dalam hubungan ini, umat Islam di negara ini adalah kepercayaan-kepercayaan dan amalan-amalan tradisi tertentu dan sedikit sebanyak ada hubungkaitnya dengan pengaruh dari fahaman anamisme, dinamisme, Hindu dan lain-lain.

2.2. Garis panduan ini perlu dijadikan asas dan panduan supaya dapat mengelakkan diri dari penyelewengan dalam aqidah dan syariat Islam. Allah sw.t. berfirman:
Maksudnya:
“Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka apda saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)”. (Surah Yunus: 106)

Di samping itu Islam tidak membenarkan umatnya menggunakan sihir, kerana Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya:

“Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan”. Para sahabat bertanya, “apakah tujuh perkara itu?” Baginda menjawab: “menyengutukan Allah, sihir, membunuh orang tanpa hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan maksiat terkutuk”.

(Hadith riwayat al-Bukhari, Kitab Sahih al-Bukhari, Kitabul Hudud, Bab 44 m.s.33).
Selain itu Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: Berkata Abu Zubair, aku dengar Jabir bin Abdullah berkata, seorang lelaki daripada kami telah disengat kala jengking. Ketika itu kami duduk bersama Rasulullah s.a.w. Maka berkata seorang lelaki wahai Rasulullah! Bolehkah aku jampi? Baginda bersabda “Barangsiapa yang mampu di antara kamu untuk memberi manfaat kepada saudaranya maka hendaklah dilakukan"

(Hadith riwayat Imam Muslim – Bab Istihbab al-Ruqyah min Al-Ain wa An Namlah wal Hummah wal An Naqrah, Jld.9, m.s. 5905)

2.3. Dalam sejarah Islam memang wujud cara perubatan tertentu sepertimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Selain dari cara pengubatan biasa, mereka juga telah menggunakan doa-doa, khusus bagi mengubati penyakit-penyakit sepertimana yang terdapat di dalam buku-buku perubatan ini. Walau bagaimanapun, mereka tidak menggunakan kaedah atau kepercayaan seperti yang difahami oleh sesetengah pihak yang tidak dikehendaki syarak seperti dengan memanggil roh datuk nenek, roh wali-wali, syeikh-syeikh dan khadam-khadam tertentu. Oleh itu, kita dibolehkan untuk melakukan jampi kepada diri, kaum keluarga atau orang lain yang ditimpa kesusahan, kerana jampi merupakan doa perlindungan berdasarkan syarak. Jika lain dari itu, perlu dilihat adakah ia berlawanan dengan syarak atau tidak.

2.4. Takrif

2.4.1. Bomoh, menurut Kamus Dewan ialah tabib kampung (yang mengubati orang sakit dengan menggunakan tradisional atau cara jkampung dan jampi-jampi).

2.4.2 Dukun ialah orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional (dengan membaca jampi serapah dan sebagainya) (Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka, KL. 1989, m.s. 297)

2.4.3. Pawang ialah:
i) Orang yang mempunyai kebolehan yang istimewa untuk melakukan sesuatu (biasanya dengan menggunakan kuasa ghaib).
ii) Orang yang pandai mengubati orang sakit dan lain-lain (dengan menggunakan jampi mentera dan lain-lain) (Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka, KL, 1989 m.s. 920).
2.4.4. Takrif Kita:

Jampi ialah perlindungan yang dijampi keapda seseorang yang mengidap sakit seperti demam, pening dan lain-lain penyakit. Dalam bahasa Arab, jampi dikenali dengan al-Ruqa atau al-Ruqyah.

2.5. Garis panduan bomoh ini mengandungi perkara-perkara berikut:

2.5.1. Asal usul Perbomohan

2.5.2. Matlamat Perbomohan

2.5.3. Syarat-syarat Perbomohan
2.5.4. Mengenai Bomoh
2.5.5. Ikrar dan Sumpah

2.5.6. Pantang Larang

2.5.7. Adab Semasa Perbomohan
2.5.8. Pengamalan Perbomohan

2.5.9. Bayaran Perkhidmatan>Pengeras
2.5.10. Pengijazahan
2.5.11. Tertakluk kepada Undang-undang Negara.

3. GARIS PANDUAN PERBOMOHAN

3.1. Asal-Usul Perbomohan

Setiap individu atau kumpulan itdak boleh mendakwa bahawa perbomohannya bersumber dari Nabi Muhammad s.a.w. para anbia atau diambil dari al-Quran dan hadith atau berasal dari amalan para sahabat Nabi s.a.w. atau lain-lain jika tidak ada alasan yang kukuh berdasarkan nas al-Quran dan al-Hadith.

3.2. Matlamat Perbomohan
3.2.1. Matlamat perbomohan hendaklah matlamat yang baik seperti untuk kesihatan tubuh badan, kerukunan hidup bermasyarakat dan berumahtangga.

3.2.2. Dilarang sama sekali untuk membalas dendam, membuat aniaya, menakut-nakutkan, mengugut orang lain dan lain-lain.

3.3. Syarat-syarat Perbomohan

3.3.1. Bagi mempastikan perbomohan tidak bercanggah dengan ajaran islam perkara berikut hendaklah dikenalpasti:

i) Tidak menggunakan bentuk amalan sihir, ilmu hitam, tilik tenung, tukang nujum, ramalan tapak tangan dan silap mata.

ii) Tidak boleh mengaitkan sesuatu pengeras dengan suatu akibat.

iii) Tidak boleh percaya keapda sial dan mudarat yang menimpa seseorang atau diri.

iv) Tidak boleh melakukan perkara-perkara yang berunsur syirik seperti semah pantai, sembelihan binatang, buang ancak dan lain-lain.

v) Tidak boleh menyembelih binatang untuk sesuatu tujuan yang bukan syar’i.
vi) Tidak boleh melakukan perbomohan atau bacaan tertentu yang menggunakan unsur-unsur meminta izin atau bantuan dari kuasa-kuasa makhluk “ghaib” dalam acara perbomohan.

vii) Tidak boleh menyajikan makanan untuk menjamu penunggu.

viii) Tidak boleh mentaati bomoh atau seseorang pada perkara-perkara yang jelas bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam.

ix) Menolak sebarang syarat yang diberikan yang bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam.

3.4. Mengenai Bomoh

3.4.1. Bomoh hendaklah beragama Islam, aqil dan baligh serta mengetahui apa yang diucapkannya.

3.4.2. Tidak melakukan perakra-perkara yang boleh membawa syirik, sama ada melalui iktikad, perkaraaan atau perbuatan.
3.4.3. Tidak meninggalkan ibadat-ibadat wajib dalam Islam seperti sembahyang fardu, puasa dan zakat.

3.4.4. Tidak melakukan maksiat, jenayah dan yang bertentangan dengan undang-undang negara.

3.4.5. Tidak memecahbelahkan masyarakat dan keluarga.

3.4.6. Tidak mentafsir ajaran agama islam mengikut hawa nafsu.

3.4.7. Tidak memasukkan atau menggunakan unsur-unsur yang bercanggah dengan islam seperti sihir, ilmu hitam dan menurun kerana pengamalnya termasuk dalam kategori penyeru iblis dan syaitan dengan ucapan-ucapan yang tidak wajar atau boleh membawa kepada kufur dan syirik.
3.4.8. Tidak boleh bersahabat dengan makhluk ghaib seperti jin dengan tujuan mendapat pertolongan dalam perkara yang ditegah oleh syarak walaupun dikatakan dengan jin Islam kerana kita tidak tahu sama ada betul Islam atau tidak.

3.4.9. Tidak boleh meminta pertolongan jin dalam rawatan perubatan sehingga membawa kepada syirik kerana dibimbangi wujud unsur menafikan kudarat Allah.

3.4.10. Tidak harus meminta pertolongan jin untuk mencari kekuatan dan kehebatan kerana dibimbangi wujud keyakinan bahawa makhluk-makhluk ini mempunyai kuasa yang sama dengan Allah atau mengurangkan keyakinan kepada kuasa Allah semata-mata.

3.4.11. Tidak harus meminta dan menggunakan khidmat jin untuk ilmu sihir atau nujum atau ‘menurun’ kerana ia termasuk dalam amalan syirik atau dilarang oleh Allah dan boleh merosakkan aqidah orang yang terlibat dengnanya.

3.4.12. Tidak boleh melakukan ramalan tentang buruk atau baik pada masa akan datang dan tidak harus menyatakan pada ramalan yang telah lalu dengan cara tebakan, tenung dan lain-lain.

3.4.13. Hendaklah mengikhlaskan hati dengan amalan, semata-mata mencari keredhaan Allah S.W.T.
3.4.14. Hendaklah sentiasa bertaqwa kepada Allah. Kerana Allah sahaja yang memberi kebaikan dan pertolongan.

3.5. Ikrar Sumpah Dan Taat Setia

3.5.1. Sumpah tidak dibolehkan semasa perbomohan, hanya ikrar saja boleh digunakan mengikut kesesuaian.

3.5.2. Pengamal perbomohan tidak booleh taat secara membuta tuli kepada bomoh. Mereka boleh mengikut suruhan bomoh tertentu selama tidak bercanggah dengan hukum syarak.

3.5.3. Bacaan-bacaan, amalan dan ikrar yang terdapat di dalam pengakuan ikrar hendaklah tidak mengandungi perakra-perkara yang bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam seperti memuja dewa atau nama berhala.

3.5.4. Di dalam upacara ikrar sama ada dari segi fizikal atau mental hendaklah tidak mempunyai unsur-unsur yang mensyirikkan Allah dan menjatuhkan maruah seseorang sebagai orang Islam.

3.6. Pantang Larang
3.6.1. Tidak boleh dikaitkan dengan pantang larang sesuatu unsur pemujaan, meminta izin, perlindungan atau bantuan daripada makhluk-makhluk ghaib seperti hantu, jin, penunggu atau orang halus dan sebagainya.
3.6.2. Tidak boleh memenuhi kehendak pantang larang bomoh sehingga melakukan perkara-perkara yang ditegah di dalam Islam seperti meninggalkan tanggungjawab sebagai suami atau isteri, membuka aurat, bersunyian antara pesakit yang lain jantina dengan bomoh sahaja dan sebagainya.
3.6.3. Perkara-perkara yang haurs dan halal dalam syariat Islam tidak boleh dihukumkan haram atau sebaliknya.

3.6.4. Tidak menurut apa-apa pendapat bomoh yang bertentangan dengan apa juga perkara yang berhubung dengan apa juga perkara yang berhubung dengan apa juga perkara yang berhubung dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam.

3.7. Adab Semasa Perbomohan

3.7.1. Tidak mendakwa perkara-perkara yang ghaib.

3.7.2. Bomoh tidak boleh takbur dan tidak boleh menganggap orang lain lemah dan lekeh.

3.7.3. Bomoh hendaklah melarang pesakitnya memuja, mengagung dan taksub kepadanya.

3.7.4. Bomoh hendaklah mengikut adab sopan dan tatatertib Islam ketika menolong seseorang sama ada bersendirian atau bersama pesakit.

3.7.5. Hendaklah menjaga kesopanan susila adab sebagai orang Islam.

3.8. Pengamalan Bomoh

3.8.1. Perbomohan tidak boleh dikaitkan dengan zat Allah dan sifat-sifat-Nya atau merupakan maksud di sebalik kalimah atau nama-nama Allah atau sifat-sifat-Nya seperti mengatakan ilmu bomoh itu diterima terus dari Allah atau kudaratnya adalah kudrat Allah atau melalui mimpi berjumpa wali, malaikat atau lainnya.

3.8.2. Pengamalan bomoh tidak boleh diertikan sebagai maksud yang tersirat daripada diri atau jasad dan roh Rasulullah s.a.w., para malaikat, nabi-nabi dan orang soleh seperti Nur Muhammad menjelma ke dalam diri dan sebagainya.

3.8.3. Tidak boleh memuja dan memperhambakan diri kepada sesuatu kuasa atua peribadi yang dipercayai boleh mendatangkan nasib baik atau buruk kepada seseorang seperti wali syeikh, rijalul ghaib, roh datuak nenek, sahabat, hantu, dewa, keramat, kubur, keris, busur, batu, kayu, cincin, kain kuning atau putih dan lain-lain.
3.8.4. Tidak boleh menggunakan tangkal dan azimat yang mengandungi rajah-rajah atau tulisan-tulisan yang tidak difahami seprti objek-objek tertentu dan bercampuraduk dengan ayatnal-Quran dan jangan menganggapkan tangkal mempunyai kuasa.

3.8.5. Penggunaan jampi dibolehkan dan digunakan dengan syarat:

i) menggunakan ayat al-Quran

ii) menggunakan bahasa yang difahami
iii) jangan mengiktikadkan bahawa jampi itu yang memberi kesan sehingga si pesakit menjadi sembuh, sebaliknya Allah yang berkuasa.

3.8.6. Tidak boleh mengamalkan bacaan-bacaan tertentu yang tidak difahami maknanya dikhuatiari mengandungi kata-kata pemujaan kepada berhala, iblis, syaitan atau nama berhala orang kafir serta bercampur aduk dengan ayat al-Quran.
3.8.7. Tidak boleh membaca mana-amana ayat al-Quran secara songsang, sepertiQul Huwallah dan lain-lain.

3.8.8. Tidak boleh menggunakan Kitab al-Quran secara tidak wajar menurut syarat seperti menggantung al-Quran dan tunggu berpusing atau tidak untuk dijadikan alasan tertentu jika berpusing begini dan jika tidak, begini pula maksudnya. Semuanya ini termasuk menghina al-Quran (Istihza’).
3.8.9. Tidak boleh meninggalkan ibadat-ibadat wajib yang dituntut di dalam Islam seperti sembahyang lima waktu dan puasa di bulan Ramadan ketika melakukan amalan perbomohan.
3.8.10. Tidak boleh mengguna perbuatan ‘menurun’, memanggil roh orang mati atau sebagainya dalam kaedah perbomohan.
3.9. Bayaran Perkhidmatan/Pengeras

3.9.1. Sebarang pengeras tidak boleh digunakan dalam perbomohan jika ia dikaitkan dengan untung nasib, buruk atau baik.
3.9.2. Bayaran perkhdimatan hanya dibolehkan mengikut kesesuaian perubatan dengan tidak terlampau tinggi hingga boleh memberatkan atau menindas dan tidak membawa maksud tolong-menolong.

3.10. Pengijazahan

3.10.1 Tidak boleh melakukan upacara-upacara yang mengandungi unsur-unsur penyembahan, pemujaan, memohon bantuan atau memperhambakan diri kepada kuasa-kuasa atau tenaga-tenaga ghaib seperti mempersembah sedulang makanan, menyembelih ayam dan sebagainya.

3.11. Tertakluk Kepada Undang-undang Negara
Semua pengamal ilmu perbomohan perlu patuh kepada undang-undang negara.
4. PENUTUP

Dengan mengikuti garis panduan ini diharapkan apra pengamal ilmu perbomohan dapat menghindarkan diri dari ajaran sesat dan aqidah yang karut agar hidup sentiasa dirahmati Allah S.W.T.

NOTA:
ISTILAH BOMOH MASIH DIFAHAMI SEBAGAI SUATU GELARAN KEPADA SESEORANG YANG MENGENDALIKAN PERMASALAHAN MANUSIA BAIK BERKAITAN PENYAKIT, KEINGINAN, HAJAT (BAIK ATAU BURUK), MERAMAL ATAU MENILIK, PENGGUNAAN SIHIR (DENGAN BANTUAN MAKHLUK HALUS) DAN SEBAGAINYA. INI BOLEH MELIBATKAN BOMOH YANG MENDAKWA MENJALANKAN KAEDAH ISLAM MAHUPUN TIDAK. JUSTERU ITU ISTILAH BAGI PARA PENGAMAL RAWATAN ISLAM PERLU DISERAGAMKAN AGAR TIDAK TIMBUL KEKELIRUAN ANTARA AMALAN YANG BERCAMPUR ANTARA HAQ DAN BATIL.

(AY_R & D_ DARUSSYIFA')

My.Document/Garis Panduan Perbomohan/nhs.

No comments:

Post a Comment